Tuesday, July 6, 2010

Sebuah Kisah Yang Memberi Pengajaran

Dalam ruangan ini, saya ingin berkongsi sebuah cerita yang sangat menyedihkan dan memberi pengajaran yang besar sekiranya kita menghayati mesej yang disampaikan. Marilah kita sama-sama menghayatinya.

Suatu hari seorang alim yang sangat takwa kepada Allah SWT berniat untuk pergi ke Tanah Suci mengerjakan ibadah haji. Waktu dia meminta izin kepada ibunya, ternyata perempuan tua itu sangat keberatan. Menurut ibunya, “tunda dahulu keberangkatanmu sehingga tahun hadapan”. Ia merasa bimbang terhadap keselamatan anaknya, kerana orang alim itu adalah satu-satunya anak yang hidup daripada hasil perkahwinan dengan almarhum suaminya.

Rupa-rupanya orang alim yang soleh itu sudah tidak dapat menahan keinginannya untuk menunaikan rukun Islam yang ke-lima. Maka, walaupun tidak mendapat restu dari ibunya, dia berkemas-kemas lalu berangkat menuju ke Tanah Haram. Jelas keputusannya ini bertentangan dengan ajaran Nabi. Kerana redha Allah SWT bergantung kepada redha orang tua, begitu pula murka Allah SWT terletak dalam murka orang tua.

Ketika menyaksikan anaknya yang pergi juga, si ibu yang sudah tua itu tergopoh-gapah mengejar anaknya. Akan tetapi anaknya itu sudah telalu jauh. Dia tidak mendengar suara ibunya yang memanggil-manggil sambil berlari-lari itu. Dalam marahnya ibu yang sangat cinta kepada anaknya tersebut menadahkan kedua-dua tangannya lalu berdoa: “Ya Allah SWT, anakku satu-satunya telah membakar diriku dengan panasnya api perpisahan. Kumohon pada-Mu, balaslah dia dengan seksaan yang setimpal. Sebagai ibunya, aku merasa sakit hati, ya Allah.”

Doa ini jelas tidak pada tempatnya bagi seorang ibu yang seharusnya bijaksana. Ini adalah disebabkan di antara doa-doa yang dikabulkan adalah doa seorang ibu terhadap anaknya. Bumi seolah-olah bergoyang mendengar doa ini. Namun orang alim tadi terus juga berjalan. Pada sebuah kota kecil sebelum sampai tempat tujuannya, orang alim itu berhenti melepaskan lelah. Menjelang Maghrib dia berangkat ke masjid dan solat sampai Isyak. Sesudah itu ia terus mengerjakan solat-solat sunat dan wirid hingga larut malam.

Secara kebetulan di sudut kota yang lain, pada malam itu terjadi peristiwa yang menggemparkan. Ada seorang pencuri yang masuk ke dalam rumah salah seorang penduduk. Orang yang punya rumah terjaga dan bersuara. Tiba-tiba pencuri itu terjatuh kerana terlanggar suatu benda di kakinya. Ketika terdengar bunyi sesuatu yang jatuh itu, maka orang yang punya rumah pun memekik-mekik sambil berkata: “pencuri! pencuri.”

Seisi kampung terbangun semuanya. Dengan ketakutan pencuri itu lari sekuat tenaga. Orang-orang kampung terus mengejarnya. Pencuri itu lari ke arah masjid dan masuk ke halaman masjid tersebut. Orang-orang pun mengejar ke sana. Ternyata pencuri itu tidak ditemukan di dalam rumah Allah SWT itu.

Salah seorang di antara mereka memberitahu kepada pemimpinnya: “Kita sudah mencari di sekeliling masjid, namun tidak ada bekas-bekasnya sedikitpun.”

Yang lainnya pula berkata: “Tidak mungkin dia ditelan bumi, aku yakin dia belum lari dari sini. Kalau di luar masjid tidak ada, mari kita cari ke dalam masjid. Berkemungkinan dia bersembunyi di situ.”

Maka orang-orang pun masuk ke dalam masjid. Ternyata betul, dekat mimbar ada seorang asing sedang duduk membaca tasbih. Tanpa bertanya-tanya lagi orang itu ditarik keluar. Tiba di halaman masjid, orang tadi sudah terkulai dan pengsan kerana dipukul beramai-ramai.

Penguasa hukum di kota tersebut malam itu juga memutuskan suatu hukuman yang berat kepadanya atas desakan masyarakat yang marah. Maka orang tersebut diikat pada tiang dan dicambuk badannya.

Keputusan dari hakim ini jelas menyalahi ajaran Nabi, bahawa seorang hakim seharusnya menyelidiki hingga hujung suatu perkara, dan tidak boleh menjatuhkan keputusan berdasarkan hawa nafsu. Begitu juga walaupun lelaki itu dituduh menodai kesucian masjid kerana bersembunyi di dalamnya, dengan berpura-pura bersembahyang dan membaca wirid, padahal dia adalah pencuri.

Pagi-pagi lagi seluruh penduduk kota itu sudah berkumpul di pasar menyaksikan jalannya hukumam qisas itu. Selain algojo melaksanakan tugasnya, orang-orang pun bersorak-sorak melihat si alim dicambuk hingga pengsan. Mereka tidak lagi mematuhi ajaran Islam untuk berbuat adil terhadap siapa saja, termasuk kepada pencuri yang jahat sekalipun. Darah memercik ke sana ke mari, orang-orang kelihatan semakin puas.

Semakin siang semakin ramai orang yang berkumpul menonton dan meludahi pencuri yang terkutuk itu. Dalam kesakitannya, orang alim yang dihukum sebagai pencuri itu mendengar salah seorang penduduk yang berkata: “Inilah hukuman yang setimpal bagi pencuri yang bersembunyi di dalam masjid!” Sambil meludah muka orang alim tersebut.

Orang yang dihukum dan dianggap pencuri ini dengan suara yang tersendat-sendat membuka mulutnya berkata: “Tolong jangan katakan demikian. Lebih baik beritahukanlah kepada orang ramai bahawa saya ini adalah hamba Allah yang ingin mengerjakan ibadah haji, tapi tidak mendapat restu dari orang tua.”

Mendengar ucapan ini, orang yang mendengar jadi terkejut dan menanyakan siapakah dia sebenarnya. Orang alim tadi membuka rahsianya, dan masyarakat jadi serba salah. Akhirnya mereka terpaksa memberitahu hal itu kepada hakim.

Setelah hakim itu datang dan tahu kedudukan perkara yang sebenarnya, maka semua mereka menyesal. Mereka kenal nama orang alim itu, iaitu orang yang soleh dan ahli ibadah. Cuma belum pernah melihat rupanya. Ibu-ibu yang hadir serta orang tua lainnya ramai yang merasa sedih tidak dapat menahan diri, tapi sudah tidak ada gunanya.

Malamnya, atas permintaan orang alim itu setelah dibebaskan dari seksaannya, dihantarkan ke rumah ibunya. Pada waktu orang alim tersebut akan dihantar, ibunya telah berdoa: “Ya Allah, jika anakku itu telah mendapatkan balasannya, maka kembalikanlah dia kepadaku agar aku dapat melihatnya.”

Begitu selesai doa si ibu, orang yang membawa anaknya pun sampai. Orang alim itu minta didudukkan di depan pintu rumah ibunya, dan mempersilakan orang yang mengantarnya itu pergi. Sesudah keadaan sunyi kembali, tidak ada orang lain, maka orang alim itupun berseru dengan suara yang pilu: “Asalamualaikum.”

Maka terdengarlah suara orang tua yang menjawab salamnya dari dalam. Bergetar hati si alim mendangar suara itu: “Saya adalah musafir yang terlantar. Tolonglah beri saya roti dan air sejuk,” kata orang alim itu menyamar diri.

“Mendekatlah engkau ke pintu. Hulurkan tanganmu melalui celah pintu,” jawab suara tadi dari dalam.

“Maaf, saya tidak boleh mendekati pintu kerana kedua kaki saya sangat kaku. Saya juga tidak dapat menghulurkan tangan melalui celah pintu, kerana tangan saya terasa letih.”

“Jadi bagaimana caranya?” Si ibu mengeluh kehilangan akal. “Antara kita ada pemisah yang tidak boleh dilanggar. Engkau lelaki yang tidak saya kenal, dan saya, walaupun sudah tua, adalah seorang perempuan.”

“Jangan bimbang wahai puan,” kata orang alim tersebut. “Saya tidak akan membuka mata kerana kedua mata saya sangat pedih, jadi saya tidak akan melihat ke arah puan.”

Mendengar jawapan itu, tidak beberapa lama kemudian perempuan itu pun keluar membawa sepotong roti dan segelas air sejuk. Orang alim itu begitu saja merasakan kehadiran ibunya, sudah tidak mampu lagi menahan diri. Ia memeluk kaki ibunya dan menjerit sambil menangis: “Ibu, saya adalah anak ibu yang derhaka.” Ibunya pun merasa sedih. Dipandangnya orang cacat di mukanya itu lalu ia menjerit ternyata adalah anaknya. Mereka berdua saling berpelukan dalam tangisan.

Ketika itu juga perempuan tersebut menadahkan tangannya memohon ampun kepada Allah SWT: “Ya Allah, kerana telah jadi begini sungguh saya menyesal atas kemarahan saya kepada anak sendiri, saya bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perkara ini, ampunilah saya ya Allah, serta ampunilah dosa orang-orang yang menyeksanya kerana kami semua telah disesatkan oleh godaan iblis dengan nafsu marah.”

Kupasan:

Apabila selesai sahaja anda membaca kisah ini, apakah yang dapat anda pelajari daripadanya? Pada pandangan saya, pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini adalah dengan melihat daripada pelbagai posisi samada kita sebagai seorang anak, kita sebagai seorang ibu, kita sebagai seorang hakim@pembuat keputusan atau kita sebagai masyarakat luar.

Sebagai seorang anak

Ya, memang benar dikatakan redha Allah SWT itu bergantung kepada redha kedua ibu bapa kita, begitu pula murka Allah SWT terletak kepada murka mereka jua. Walau baik atau soleh mana kita sekalipun, tetapi nasihat dan permintaan mereka harus dituruti dan diberi keutamaan selagi mana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Ini adalah disebabkan mereka insan yang sangat mulia disisi Allah SWT kerana pengorbanan mereka yang sanggup memikul amanah Allah untuk menjaga anak dan sanggup berkorban nyawa, tenaga, masa, wang ringgit dan segalanya demi anak tercinta. Oleh itu, apabila kita sudah dewasa, apa salahnya jika kita pula yang berkorban demi membahagiakan dan menggembirakan hati mereka. Saya teringat kisah seorang sahabat yang bertanya Rasulullah SAW tentang siapakah yang harus diberi keutamaan diantara ibu@bapa? Maka Baginda menjawab, “Ibu”. Lalu sahabat bertanya lagi, dan Baginda masih menjawab “Ibu”. Lalu sahabat bertanya lagi, Baginda masih menjawab “Ibu”. Soalan yang sama ditanya buat kali ke 4, barulah Baginda menjawab “Ayah”. Ini mempamerkan peri penting dan tingginya darjat seorang ibu dibandingkan insan-insan yang lain. Maka wajarlah kita menyanjungi dan menghargai ibu bapa kita. Bahagiakanlah hati mereka dan jagalah mereka selagi mereka masih hidup.

Sebagai seorang Ibu

Demikian juga pengajaran yang boleh diambil daripada kisah tersebut jika kita diposisi seorang ibu. Memang ditekankan bahawa antara doa yang dimakbulkan oleh Allah SWT adalah doa seorang ibu kepada anaknya. Oleh itu, walau teruk atau jahat mana sekalipun anak kita, kita tidak sepatutnya mendoakan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Sebaliknya biarlah kita mendoakan perkara-perkara baik agar anak kita dilembutkan hati dan diberi petunjuk oleh Allah agar menjadi anak yang soleh dan mendengar nasihat kedua orang tuanya.

Sebagai seorang hakim@pembuat keputusan

Apabila berlaku sesuatu masalah atau jenayah, maka Islam mensyariatkan agar menyelidiki dan menyiasatnya terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan. Ini adalah untuk memberi keadilan kepada pihak-pihak yang terlibat. Oleh sebab itu, hakim atau peguam dilantik supaya hal-hal berkaitan dapat diteliti dan diadili mengikut undang-undang samada berkaitan hukum hudud, qisas atau ta’zir.

Sebagai masyarakat luar

Sebagai masyarakat Islam, kita perlu bertindak dengan bijak sekiranya berlaku sesuatu terhadap diri, keluarga, agama, masyarakat mahupun negara. Namun begitu, tindakan yang diambil haruslah mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam. Kita tidak boleh mengambil keputusan mengikut hawa nafsu. Negara kita mempunyai undang-undang. Oleh itu, apabila berlaku sesuatu kekacauan, maka serahkan hal tersebut kepada pihak berkuasa kerana mereka lebih arif dalam hal tatatertib, bukan dengan sewenag-wenangnya kita mengambil tindakan sendiri. Jika dilihat terhadap kisah di atas, bukanlah tindakan yang diambil oleh masyarakat luar telah menganiaya insan yang tidak bersalah? Fikir-fikirkanlah….

1 comment:

  1. boleh x nk share kt blog sy??

    paroroharoro.blogspot.com

    ReplyDelete