Thursday, April 19, 2012

MUSAFIR KE DANAU TOBA, INDONESIA

Sambungan entry yang lalu..

Pada hari kedua bermusafir, jemaah kami berangkat pula ke Danau Toba, Sumatera Utara. Perjalanan untuk sampai ke sana mengambil masa sekitar 4 jam. Untuk ke sana, kami telah menaiki sebuah bas dan dua buah kereta Kijang. Saya, Kak Murni dan Lenny telah menaiki kereta Pak Suhrawardi bersama keluarganya, beberapa orang pelajar lelaki telah menaiki sebuah Kijang lagi dan selebihnya menaiki bas. Saya membuat keputusan untuk menaiki kereta dan tidak menaiki bas disebabkan bimbang perjalanan menaiki bas dalam keadaan jarak yang jauh akan membuatkan kepala saya pening, ditambah pula hentakan bas pada permukaan jalan yang tidak begitu rata lebih kuat berbanding dengan menaiki kereta.

Alhamdulillah, perjalanan yang bermula sekitar jam 8 pagi waktu Indonesia membolehkan kami sampai di Danau Toba pada waktu tengah hari iaitu sekitar jam 12.30. Sampai sahaja di sana, kami terus disajikan dengan juadah yang pelbagai dan enak-enak belaka, alhamdulillah. Setelah perut kenyang, kami terus mengerjakan solat jamak dan qasar zuhur dan asar secara berjemaah.

Musafir kami di Danau Toba ini hanya mengambil masa dua hari sahaja iaitu berangkat pada hari Ahad dan pulang semula ke Medan pada hari Isnin. Namun, sebelum pulang, kami berpeluang untuk pergi ke Pulau Samosir iaitu sebuah pulau kecil yang terletak di tengah-tengah danau tersebut.

Perkongsian…

Apa yang boleh saya kongsi di sini adalah musafir kami ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengambil peluang mentadabbur alam serta melihat tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Ada beberapa hal yang membuatkan saya berasa takjub, terpesona dan mengagumi akan keajaiban yang diciptakan Allah SWT. Setiap kali saya pergi ke sana, perkataan pertama yang keluar daripada mulut saya adalah ‘Subhanallah, masya-Allah, alhamdulillah’.. Sejurus itu juga, dengan tidak semena-mena, air mata saya bergenang melihat keindahan alam ciptaan Allah. Apakan tidak, nuansa dan pemandangannya begitu indah sekali. Keduanya, kekaguman dan ketakjuban saya adalah disebabkan pada keunikan pembentukan Danau Toba itu sendiri. Danau itu terbentuk hasil letusan gunung berapi yang berlaku puluhan tahun dahulu. Ia adalah letusan supervolcano (gunung berapi super) yang paling baru. Letusannya terjadi selama 1 minggu dan lontaran debunya mencapai 10 km di atas permukaan laut. Menurut beberapa bukti DNA, letusan ini juga mengorbankan jumlah manusia sekitar 60% daripada jumlah populasi manusia di bumi pada ketika itu, iaitu sekitar 60 juta orang manusia. Setelah itu, terbentuklah kaldera yang kemudian terisi oleh air dan kini dikenali sebagai Danau Toba. Tekanan ke atas oleh magma yang belum keluar menyebabkan munculnya Pulau Samosir. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk http://id.wikipedia.org/wiki/Danau_Toba

Besar bukan kekuasaan Allah? Pujilah Allah dengan mengucapkan Subhanallah. Saya berasa sangat bersyukur kerana masih lagi diberikan peluang oleh Allah untuk ke sana. Anda pernah pergi ke sana? Sekiranya belum, saya titipkan anda dengan beberapa foto untuk tatapan anda. Sekiranya mahu foto yang lebih banyak, silalah google image ye. Hehe..


Gambaran keluasan Danau Toba dan Pulau Samosir.

Danau Toba bukan tempat membuang sampah !

Pemandangan yang indah dan cukup memukau.

Suasana yang tenang dan mendamaikan.

Kehijauan flora yang menyegarkan.

Air danau yang tenang.

Rumah yang jauh dari kesibukan kota.


Pemandangan bukit bukau yang menyejukkan mata memandang.

Sekian, saya tangguhkan lagi penceritaan ini dan insya-Allah akan disambung pada entry selanjutnya.

Sunday, April 15, 2012

KEMBARAKU DI MEDAN, INDONESIA

Alhamdulillah, saya masih diberikan peluang oleh Allah untuk bermusafir bersama warga ISDEV untuk menjelajahi bumi Allah yang sangat luas ini. Ini merupakan pengalaman kelima saya bermusafir ke luar negara iaitu tiga kali ke Medan, sekali ke Aceh dan sekali ke Thailand.

Alkisah….

Tanggal 7 April 2012, seawal jam 8am, jemaah ISDEV telah berkumpul di perkarangan masjid al Malik Khaled untuk sama-sama berangkat ke airport Penang. Setibanya di airport, suasana pada ketika itu agak hingar bingar dan sarat dengan manusia. Maklumlah, dah hujung minggu, maka ramai yang mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga dengan menaiki flight. Walaupun agak kalut untuk check in di kaunter Air Asia, namun alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Flight kami berlepas pada jam 11.05am dan mengambil masa selama 45minit untuk tiba di sana.

Tepat jam 10.55am, jemaah kami tiba di airport Polonia, Medan. Mesti ada yang tertanya-tanya kan mengapa berlepas jam 11.05am, namun tiba di Medan pada jam 10.55am? Sebenarnya, waktu Indonesia adalah lewat satu jam dari waktu Malaysia.

Tiba di perkarangan airport, jemaah kami telah disambut oleh beberapa orang penduduk Medan yang juga merupakan pelajar ISDEV. Sejurus itu, kami diminta untuk menyelesaikan urusan dengan pihak imigresen bagi membolehkan kami meneruskan aktiviti di Medan. Alhamdulillah, setelah selesai, kami dibawa pula untuk check in di hotel Royal Perintis, Medan.

Overview…

Alhamdulillah, sepanjang musafir ini, banyak benda dan perkara yang boleh dilihat, di perhati, diperhalusi dan difikirkan oleh akal dan mata hati.

Disebabkan musafir bersama warga ISDEV ke Medan ini merupakan pengalaman ketiga, maka nuansa dan keadaan di sana dirasakan sudah tidak asing lagi. Masih segar dalam ingatan sewaktu pertama kali saya menjejakkan kaki di Medan pada tahun 2010 dahulu, saya sangat terkejut dengan suasana jalan raya yang sangat sesak dan corak pemanduan yang boleh dikatakan agak tidak berhemah. Namun, setelah tiga kali ke sana, saya sudah dapat memahami dan memandang positif keadaan tersebut. Persoalan terlalu banyak kereta dan motosikal? Tentulah. Sebabnya masyarakatnya ramai dan kebanyakannya menggunakan keadaan sendiri untuk ke satu-satu destinasi. Persoalan tentang corak pemanduan yang tidak berhemah? Betulkah tidak berhemah? Setelah berfikir, saya rasa itu adalah budaya dan cara yang telah sekian lamanya lahir di sana dan ia tidak wajar untuk dikatakan sebagai tidak berhemah. Ia mungkin berpunca daripada sistem undang-undang mereka sendiri yang tidak terlalu ketat. Walaupun kelihatan nuansa tersebut agak kurang sihat, namun banyak pengajaran yang boleh diambil daripada sikap pemanduan sebegini. Jika diperhatikan, mereka sentiasa memandu dalam keadaan slow, sentiasa bersabar dalam keadaan jem (macet) sekalipun dan mereka sangat menghormati pejalan kaki. Walaupun keadaan jalan raya yang sentiasa sesak, namun sepanjang tiga kali pengalaman saya bermusafir ke sana, saya tidak pernah melihat accident. Sikap pemanduan sebegini sebenarnya yang kurang dipupuk di Malaysia.


Selain sikap pemanduan, saya juga terkesan dan kagum terhadap cara layanan masyarakat di sana. Saban tahun, setiap aktiviti musafir kami ini telah diatur oleh para pelajar ISDEV yang juga merupakan penduduk Medan. Setiap malam, sepanjang musafir kami di sana, kami diundang untuk makan malam di rumah mereka. Saya sangat kagum dan terharu melihat sikap mereka yang sangat menghormati dan meraikan tetamu. Pelbagai juadah yang enak telah disajikan untuk santapan kami semua. Sehingga akhirnya, kami berasa sangat kenyang dan gembira kerana telah disajikan dengan juadah yang sangat enak dan menepati selera kami. Sikap sebegini pada hakikatnya sangatlah dianjurkan dalam Islam. Kalau disingkap sejarah Islam, sikap melayani tetamu ini telah dilakukan oleh para Nabi dan para sahabat sejak sekian lamanya. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah dalam surah Adz-Dzariyaat, ayat 26-27:

26. Maka dia pergi dengan diam-diam menemui keluarganya, kemudian dibawanya daging anak sapi gemuk. 27. Lalu dihidangkannya kepada mereka. Ibrahim lalu berkata: "Silakan anda makan."

Selain pengalaman melihat sikap pemanduan dan layanan terhadap tetamu oleh masyarakat Medan, banyak lagi pengalaman yang boleh diambil pengajaran melaluinya. Pengalaman yang sangat tidak dapat dilupakan adalah saat merasai gegaran gempa bumi di sana. Namun, pengalaman-pengalaman ini insya-Allah akan saya ceritakan pada entry selanjutnya.

P/S : Entry ini berhenti seketika. Panjang umur dan ada kelapangan, akan saya lanjutkan sesi penceritaan ini, insya-Allah. Sekian, Wallahu a’alam.

Tuesday, December 13, 2011

ANUGERAH TERISTIMEWA





Alhamdulillah, terima kasih TUHAN atas anugerah ini.

P = Penyatuan jiwa dua insan.
E = Elemen cinta, kasih dan sayang diabadikan.
R = Rasmi agama diterapkan, resam budaya diamalkan.
K = Kahwinilah dia kerana agamanya, bukan kerana harta dan kecantikan.
A = Allah menghalalkan satu ikatan, usah dicari lagi yang diharamkan.
H = Hanya "sabar" elemen tambahan paling mujarab dalam memperkukuh ikatan.
W = Wanita dan lelaki saling melengkapkan.
I = Inilah fitrah daripada Tuhan.
N = Nanti kita mendapat balasan daripada setiap yang dilakukan.
A = Amanahlah kita sebagai insan.
N = Natijahnya, bahagialah kita dalam kehidupan.

Monday, July 25, 2011

BERSYUKUR DENGAN UJIAN

"Ya Allah, jika segala kesusahan dan keperitan ini mendekatkan aku dengan-Mu, janganlah engkau mengurniakan aku kesenangan dan kemudahan kerana aku takut aku akan jauh dari-Mu lantaran kelalaian dan kealpaanku."


Dalam hidup ini, kita sering diuji dengan berbagai-bagai ujian dari Maha Pencipta. Ujian yang didatangkan itu kadang-kadang merupakan satu peringatan di atas kelalaian ataupun satu hukuman lantaran kesalahan dan tidak kurang juga hanya semata-mata ujian untuk menduga tahap kesabaran dan keimanan kita. Kita diuji dengan sesuatu yang kita mampu hadapi kerana Yang Maha Mengetahui kemampuan dan keterbatasan kita hanyalah Allah Yang Esa.

Sunday, July 17, 2011

Sya'aban semakin berlalu, Ramadhan kian menjengah

Bulan Sya'aban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Sya'aban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Semalam (Ahad, 17 Julai 2011/15 Sya'aban 1432H) baru saja nisfu sya'aban berlalu. Moga-moga amalan kita semua diterima oleh-Nya.

Ya Tuhan, Kau pimpinlah langkahku, agar tidakku kesesatan, dari jalan syurgamu yang kudambakan..Kerana tidakku terdaya menahan siksa neraka. Namun, layakkah pula aku untuk ke syurga?..Ya Tuhan, Ku hanya hamba yang diciptakan dengan kelemahan. Sering daku terlupa, sering jua daku terleka dengan nikmat-Mu yang melimpah di depan mata.. Ampunkanlah dosa-dosaku, ya Tuhanku..


Wednesday, June 22, 2011

Laporan Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV -JUN 2011-

Tanggal 17 Jun 2011 bersamaan 15 Rejab 1432 H, ISDEV telah mengadakan aktiviti rutin bulanannya iaitu "Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV" untuk bulan Jun. Penyeliaan ini diadakan pada dua sessi, iaitu sessi pagi dan petang.

SESSI PAGI

Terdapat empat aktiviti yang menjadi tunjang kepada program penyeliaan pada sessi pagi iaitu:

Pertama, tazkirah : Disampaikan oleh Ust. Shukri Hanapi. Kedua, mendengar pengalaman Dr. Nailul Murad sepanjang beliau subatikal dan berada ditanah suci. Ketiga, kuliah Objektif Kajian : Disampaikan oleh Dr. Sukainah. Keempat, jamuan sempena perpisahan Dr. Nik Masakaree dan Dr. Isyrad Basri.

Untuk aktiviti yang pertama, Ust Shukri telah menyampaikan tazkirahnya yang bertajuk "Syarat menuntut ilmu: Pandangan Imam Al-Syafi'y dalam kitab Diwan al-imam Al-Syafi'y". Menurut Ust Shukri, Imam Al-Syafi'y telah menggariskan enam syarat yang perlu diikuti untuk mendapatkan ilmu iaitu:
1-Zaka' : Cerdas dan bijak
2-Hirs : Semangat yang tinggi/rakus
3-Ijtihad : Kesungguhan
4-Bulghah : Kemampuan sara diri/kewangan
5-Suhah Ustaz : Bersahabat dengan guru
6-Tul zaman : Sepanjang masa

Warga ISDEV mendengar tazkirah dengan penuh minat.


Dalam sya'ir Imam Syafi'y ada menukilkan bahawa manusia harus menjauhi maksiat untuk mendapatkan ilmu. Ini adalah disebabkan ilmu itu adalah cahaya dan ia tidak akan bercampur dengan hati yang penuh dengan maksiat dan kejahatan. Selain itu, apa yang dapat saya garap daripada penyampaian tazkirah ust Shukri adalah menuntut ilmu perlu ada kesungguhan. Untuk mendapatkan kesungguhan tersebut, perlulah dengan kesabaran. Ust juga menyeru supaya kita semua cuba untuk bersahabat dengan guru. Ini adalah tuntutan menuntut ilmu sebagaimana yang digariskan oleh Imam Syafi'y.


Selepas tazkirah, Dr. Nailul dijemput pula untuk menceritakan pengalamannya bercuti subatikal di IDB, Jeddah serta pengalamannya menjejakkan kaki di tanah suci Mekah. Alhamdulillah, banyak pengalaman, pengamatan dan tinjauan yang dikongsikan oleh Dr. Nailul bersama warga ISDEV.


Setelah selesai Dr. Nailul berkongsi pengalamannya, maka tibalah giliran Dr. Sukainah menyampaikan kuliahnya yang bertajuk "Objektif Kajian: Hubungan dengan Pernyataan Masalah dan Persoalan Kajian".


Banyak input-input bermanfaat yang disampaikan oleh Dr. Sukainah dan boleh digunakan dalam proses menulis sebuah tesis terutamanya oleh penyelidik yang baru memulakan pengkajiannya. Menurut beliau, cara menyatakan objektif tidak hanya kepada perkataan mengkaji, lebih dari itu, kita haruslah menyatakan objektif dengan menggunakan istilah:
...untuk mengenal pasti / untuk menganalisis / untuk menilai...




Slide kuliah Dr. Sukainah


Warga ISDEV memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang disampaikan oleh Dr. Sukainah.


Sekitar jam 11.40m, program penyeliaan ISDEV pada sessi pagi telah sampai kepada aktiviti yang terakhir iaitu jamuan makan sempena perpisahan ISDEV dengan Dr. Basri dan Dr. Nik. Sebelum menjamu selera, Dr. Basri dijemput memberikan ucapan sepatah dua kata tentang apa sahaja yang ingin diluahkan sebelum beliau menamatkan program post-docnya di ISDEV. Agak panjang juga luahan yang disampaikan. Dr. Nik pula tidak berkesempatan memberikan ucapan memandangkan beliau tidak dapat hadir ke program penyeliaan tersebut atas urusan yang tidak dapat dielakkan.


Setelah semuanya selesai, seluruh warga ISDEV dijemput menjamu selera. Kaum Adam (Muslimin) diberi penghormatan untuk terlebih dahulu menjamu selera memandangkan mereka akan menunaikan solat jumaat.


Alhamdulillah, program penyeliaan Siswazah ISDEV pada sessi pagi berjalan sebagaimana yang dirancang. Mungkin, berkat hari Jumaat, maka Allah mempermudah segala urusan.




Prof. Muhammad Syukri Salleh menyampaikan cenderahati kepada Dr. Basri.



Kek yang disediakan oleh ISDEV untuk meraikan Dr. Basri dan Dr. Nik.



Mungkin Prof. sedang memberikan tips tentang cara-cara memotong kek kepada Dr. Basri.


PENYELIAAN SESSI PETANG


Pada jam 3.00 petang, penyeliaan siswazah ISDEV diteruskan dengan dua pembentangan proposal PhD. Pak Farid Wajdi menjadi pembentang pertama dengan tajuk tesisnya "Logo halal di Sumatera Utara Indonesia: Undang-undang, pentadbiran dan penggunaan". Manakala Pak Mulia pula menjadi pembentang kedua dengan tajuk tesisnya "Tadbir urus korporat, pengurusan pendapatan dan nilai firma: Kajian kes di Syarikat-syarikat tersenarai di Jakarta Islamic Index (JII), Bursa EFEK Indonesia.


Alhamdulillah, kedua-dua pembentang ini berjaya menghasilkan sebuah proposal yang baik dan telah diluluskan oleh penilai masing-masing. Ini bermakna mereka sudah boleh meneruskan pengkajian diperingkat kajian lapangan. Moga-moga ianya dapat menyuntik semangat semua pelajar ISDEV agar mempercepat proses penulisan tesis dan dapat menghabiskan pengajian mengikut waktu yang dirancang. Insya-Allah.


Sama-samalah kita berdoa agar Allah membuka jalan dan mempermudahkan urusan kita dalam menghasilkan sebuah tesis yang berkualiti dan dapat memberikan sumbangan kepada perkembangan ilmu Islam.



Sekian, Wallahu 'alam.

Sunday, May 8, 2011

SELAMAT HARI IBU

Malam semalam, aku terasa ingin membaca sesuatu daripada bahan bacaan ringan. Lalu ku arahkan mataku ke bahagian rak buku yang sarat dengan buku-buku akademik dan bukan akademik termasuk majalah. Tanganku lekas mencapai majalah solusi isu no.30. Aku membelek-belek majalah tersebut dan terus merebahkan diri di atas katil. Tajuk di bahagian kulitnya tertera "Memburu kemanisan iman". Lalu ku selak muka suratnya satu persatu untuk mencari tajuk-tajuk yang dapat menarik minatku untuk membacanya.

Sekitar jam 11.55pm, aku bingkas bangun daripada katil lalu mencapai handphone dan jari-jemariku ligat menaip sesuatu. Di skrin handphone ku kini tertulis:

"Assalamualaikum..Mak, SELAMAT HARI IBU. Terima kasih kerana melahirkan dan mendidik kami sembilan beradik. Jasamu dikenang hingga ke akhir hayatku. Semoga menjadi ibu mithali dan ibu sejati serta diredhai Allah SWT. Semoga mak dipanjangkan usia, dipermudahkan segala urusan dan bahagia di samping abah, anak-anak dan cucu. Sayang mak".

Tepat jam 12am (menandakan sudah memasuki 8 Mei 2011), mesej tersebut terusku hantar ke talian ibuku. Tidak lama kemudian, "mesej delivered" tertera di skrin handphone ku. Hati kecilku berkata, "Alhamdulillah. Mak telah menerima mesej yang ku hantar sebentar tadi.

Kini, aku kembali merebahkan diri di atas katil. Tangunku masih lagi membelek majalah solusi yang dibaca sebentar tadi. Sambil membelek, fikiranku menerawang.."Hari ini hari ibu. Apa yang boleh ku berikan kepada mak untuk menggembirakan hatinya?" Mesti mak merasa sedih kerana anak-anaknya berada di lokasi yang jauh darinya dan tidak dapat menyambut hari ibu sebagaimana tahun lepas". Tanpa ku sedari, air mataku sudah bergenang. Lalu, aku memujuk hatiku sendiri. "Tak mengapalah. Bukan bermakna hari ini sahaja hari ibu, sepatutnya setiap hari adalah hari ibu dan boleh diraikan bila-bila masa sahaja". Kini, aku berasa tenang. Semoga pada bulan hadapan aku boleh pulang ke Johor dan memberikan sesuatu hadiah yang istimewa untuk ibuku sebagai tanda terima kasih dan bersyukurku atas segala pengorbanan dan jasanya walau ku tahu ia tidak mampu dibalas dengan segunung emas dan permata sekali pun. Ku yakini dihati seorang ibu, selain doa dari anaknya, hadiah juga boleh membuatkan ibuku gembira.

Mataku ku arahkan ke skrin handphone. Jam sudah menunjukkan 12.45am. "Hari dah larut malam, aku perlu tidur", hati kecilku berkata. Aku pun membuat persediaan untuk tidur...

***Demikianlan cerita ringkas yang dapat saya nukilkan untuk dikongsikan bersama. Rasa macam kelakar pula, menulis dalam bentuk novel. Tapi, tidak mengapalah. Inilah ruangan santai yang paling sesuai untuk saya mengasah bakat. Mana tahu, satu hari nanti boleh menghasilkan sebuah novel yang menjadi medium untuk berdakwah kepada masyarakat.Hehe..Insya-Allah.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada mak, ibu-ibu dan bakal ibu di luar sana. Semoga kalian semua menjadi ibu yang baik, mithali dan dapat melaksanakan amanah Allah SWT dengan penuh tanggungjawab. Semoga kalian semua akan ditempatkan di "Jannah"nya kelak. Insya-Allah, amin.

Kepada anak-anak di laur sana, sayangilah ibu anda sebagaimana anda menyayangi diri anda sendiri. Sedarlah bahawa tanpa ibu, anda tidak akan lahir ke dunia ini.
Akhir kalam, hayatilah ayat Allah SWT di bawah ini:

"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu.
(Surah Al-Luqman, 31:14)
Sekian, Wallahu a'lam.











Friday, May 6, 2011

Penyeliaan Bulanan Siswazah ISDEV

Hari ini, tanggal 6 Mei 2011 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1432 H, pengajian Ph.D ku telah berusia satu bulan 6 hari. Sekejap sahaja masa berlalu. Rasanya macam baru semalam mendaftar.

Walau apapun perasaan yang timbul, akuilah bahawa waktu kian berlalu dan masa kian meninggalkan kita. Oleh itu, jangan berhoney moon dan berlengah lagi. AYUH..tingkatkan momentum untuk terus berusaha dengan gigih agar pengajian Ph.D dapat diselesaikan mengikut masa yang telah ditentukan.

Apa yang istimewanya menyambung pengajian di ISDEV adalah bimbingan daripada para pensyarahnya. Hari ini, sebagaimana biasa program bulanan yang dianjurkan oleh ISDEV, penyeliaan bulanan siswazah ISDEV telah diadakan di C06 (bilik mesyuarat PPSK, USM) bermula seawal jam 9.30am. Terdapat 5 perkara yang menjadi tunjang kepada perjalanan penyeliaan ini iaitu:

*Tazkirah (telah disampaikan oleh Prof. Muhammad Syukri Salleh).*Perbincangan masalah yang dihadapi oleh para pelajar.*Kuliah pernyataan masalah yang disampaikan oleh Prof. Muhammad Syukri Salleh.*Perbincangan pernyataan masalah kajian pelajar.*Santapan fizikal (jamuan makan)

Tajuk tazkirah yang disampaikan oleh Prof adalah "Susah sangatkah menulis tesis?". Tajuk ini sebenarnya sangat bagus dan mempunyai hubung kaitnya dengan para pelajar ISDEV. Semua pelajar ISDEV baik yang sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D mahupun sarjana mengakui susah dan sukar untuk menulis. Terdapat 29 jenis halangan dan hambatan yang dihadapi oleh pelajar ISDEV. Rupanya benar. Menulis dan menghasilkan sebuah tulisan akademik bukannya mudah sebagaimana menyuap nasi ke dalam mulut. Menulis tesis menuntut pengorbanan dan usaha yang gigih.

Di akhir tazkirah, Prof menyatakan beberapa penawar yang bleh diusahakan untuk menyelesaikan kesusahan dan hambatan yang menyukarkan proses menulis tesis. Antara penawarnya ialah:

Selesaikan masalah asas dengan tingkatkan rasa berTuhan, tazkiyah an-nafs (tundukkan mazmumah dan tingkatkan mahmudah) -iman dan taqwa-perkuatkan hablumminallah dan hablumminannas.

Alhamdulillah, hasil diskusi dalam sessi seliaan yang memakan masa selama 4 jam 15 minit, maka terungkailah permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ISDEV khususnya tentang kesukaran menulis tesis dan membuat pernyataan masalah serta menghubungkannya dengan latar belakang, objektif, persoalan kajian dan kaedah penyelidikan.

Tahniah diucapkan kepada pensyarah-pensyarah ISDEV yang tidak pernah jemu dalam membimbing dan mencurahkan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.


Prof. Muhammad Syukri Salleh dan barisan pensyarah sedang meneliti permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ISDEV.


Pelajar muslimin memenuhkan ruang di bahagian kiri bilik C06, manakala pelajar muslimat pula memenuhkan ruang di sebelah kanan bilik C06.


Barisan pelajar muslimat Misdev '10. Rosyada sedang berkongsi masalah yang dihadapi.


Barisan pelajar muslimin yang hadir dari Indonesia dan Malaysia.

Slide tazkirah yang disampaikan oleh Prof.


Barisan pensyarah ISDEV (Dari kiri: Dr. Sukainah, Dr. Zahri, Prof. Muhammad Syukri Salleh dan Dr. Zakaria)

Antara wajah-wajah pelajar Ph.D dan Sarjana yang menyambung pengajian di ISDEV.


Sekian, wallahu a'lam.

Monday, May 2, 2011

Pesanan Buat Seorang Insan

1) "Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula menentukan kebahagiaan".

2) "Harta paling menguntungkan adalah SABAR. Teman paling akrab adalah AMAL. Pengawal peribadi paling waspada adalah DIAM. Bahasa paling manis adalah SENYUM. Ibadah terindah tentunya KHUSYUK".

3) "Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuatkan kamu bahagia, cukup cubaan untuk membuatkan kamu kuat, cukup penderitaan untuk membuatkan kamu menjadi manusia yang kental, dan cukup harapan untuk membuatkan kamu positif terhadap kehidupan".


Selain berpegang kepada sumber epistemologi Islam yang qat'ie (al-Quran dan Sunnah), ketiga-tiga pesanan ini juga boleh dijadikan peringatan dan pedoman untuk menjadikan diri lebih bermotivasi dan tabah dalam mengharungi dugaan serta cabaran hidup.

Sudah menjadi fitrah dimana setiap manusia pastinya akan diuji. Ada yang diuji dengan perkara-perkara yang menggembirakan seperti mendapat kejayaan, kemewahan, kebijaksanaan, ketenangan dan kebahagiaan. Ada juga yang diuji dengan perkara yang menyedihkan seperti kematian, kesusahan, tekanan perasaan, kecacatan, kemiskinan dan sebagainya.

Dalam konteks kehidupan sebagai PELAJAR misalnya, tentunya tidak dapat lari daripada masalah, tekanan dan cabaran. Lebih-lebih lagi pelajar yang berada diperingkat PhD. Tentunya cabaran yang dihadapi lebih besar. Ia menuntut jiwa yang kuat, emosi yang stabil dan yang paling penting adalah rohani yang dekat dengan Allah SWT. Jika tidak kuat menghadapi dugaan, maka akan adalah yang mengambil jalan pintas sebagaimana yang berlaku dewasa kini. Jika rasa terlalu sukar menyelesaikan pengajian, ada yang give up sehingga berhenti pengajian, ada yang bunuh diri, hilang ingatan dan lain-lain.

Oleh itu, Islam mengajar tips-tips dan cara untuk menghadapi dugaan dan tekanan. Antaranya, dekatkan diri dengan Tuhan (Allah SWT), melakukan amalan-amalan sunat, sabar, cekal, kuatkan semangat, yakin bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan tawakkal kepada Allah SWT. Insya-Allah pastinya jiwa akan menjadi tenang.

"Usaha yang diiringi dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT pasti akan menemui kejayaan"

Friday, April 15, 2011

LIKU DAN RANJAU KEHIDUPAN

Tanggal 1 April 2011, maka berkuat kuasalah status ku sebagai pelajar Doktor Falsafah di ISDEV, USM. Pelbagai perasaan timbul dalam hati ini. Terkadang rasa gembira, takut, bimbang, semuanya silih berganti. Masakan tidak, menjadi pelajar Ph.D merupakan cabaran yang sangat besar dan berat. Mampukah aku melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan Ph.D sekali gus menggarap ilmu yang dianugerahkan Tuhan?


Ya Tuhan..Kurniakan aku kekuatan dan kemampuan untuk memartabatkan bidang keilmuan Islam. Apa yang perlu aku lakukan kini? Ya, semestinya pelbagai strategi perlu disusun. Apa yang terfikir kini ialah:


Persediaan dari sudut rohani (spiritual). Menguatkan fizikal, mental dan emosi. Mencari, menambah bahan bacaan dan menguasai bidang kajian. Memantapkan penguasaan bahasa untuk mengukuhkan penulisan. Mencari networking. Belajar dari pengalaman. Sentiasa menulis. Berdiri di atas kaki sendiri (berdikari dalam segala hal). Jadi seorang yang berpendirian. Berdamping dengan orang berilmu. Tegas dalam membuat keputusan.


Ini baru sedikit dari persediaan dan langkah yang perlu dilakukan. Mampukah aku melakukannya? YA, insya-Allah mampu. Jika tidak, masakan Allah SWT menyusun langkah hidupku hingga ke tahap ini. Terima kasih Tuhan. Anugerah-Mu buatku merasa sangat bersyukur dengan apa yang ada kini.



Sekian, Insya-Allah akan disambung di lain hari dan waktu.



Wallahu a’lam.